‘Wanita jadian’ remb4t wang, barangan berharga ketika jemaah solat

Seorang lelaki menyamar sebagai jemaah wanita dengan memakai kain telekung yang dicurinya di Masjid Ibn Abbas, Taman Ibu Kota di Kuala Lumpur sebelum melarikan barangan berharga milik mangsa yang sedang menunaikan solat.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 8.40 malam Sabtu lalu, ‘penyamaran’ lelaki terbabit sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan sebelum rakamannya ditularkan di media sosial.

Rakaman video berdurasi tiga minit 55 saat itu menunjukkan suspek tidak berseorangan sebaliknya datang ke masjid bersama seorang wanita yang menunggu di kawasan luar.

Suspek kemudiannya dilihat ‘mencuri’ telekung dalam masjid itu sebelum memakainya dan memasuki saf wanita ketika jemaah lain menunaikan solat. Dia kemudian menggeledah barangan jemaah yang diletakkan di belakang saf sebelum bergegas meninggalkan masjid.

Mangsa, Norhayati Bahari, 57, berkata, dia hanya menyedari wang tunai RM200 dan empat kad bank miliknya hilang selepas menunaikan solat.

“Selesai solat, saya lihat zip beg terbuka dan selepas diperiksa, wang tunai serta kad bank yang ada di dalamnya hilang dibawa lari pencuri terbabit. Bukan hanya saya malah beberapa rakan jemaah lain juga menjadi mangsa dan kami sudah membuat laporan di Balai Polis Setapak, awal pagi tadi (semalam) dengan harapan suspek segera ditangkap,” katanya.

Kamariah Abd Kadir, 69, berkata, dia kehilangan kad pengenalan dan bank selepas beg duit miliknya dilarikan suspek.

“Saya sedar barangan berkenaan hilang ketika mahu mengambil cermin mata untuk mengaji selepas solat Isyak.

“Ikutkan, terdapat wang tunai RM600 hasil jualan niaga saya di dalam beg tetapi tidak hilang mungkin kerana dia (suspek) tidak perasan memandangkan ia terselit di tempat lain.

“Ini kali pertama saya berdepan dengan insiden ini dan tidak sangka ada individu tergamak melakukan perbuatan terkutuk di rumah Allah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Ibn Abbas, Dr Mohd Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya maklum mengenai kejadian berkenaan selepas menerima aduan daripada jemaah yang menjadi mangsa.

“Ini kali ketiga kes kecurian berlaku di sini dan tak sangka masih ada individu yang berani serta tergamak melakukan kegiatan itu sedangkan pihak masjid sudah memasang CCTV sejak tahun lalu sebagai langkah keselamatan.

“Bagaimanapun, pihak masjid akan mencari penyelesaian bagi memastikan keselamatan harta jemaah mungkin dengan melakukan kawalan pada waktu solat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Siasatan lanjut sedang giat dijalankan termasuk memburu suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment on "‘Wanita jadian’ remb4t wang, barangan berharga ketika jemaah solat"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*