Dua beradik terpaksa ‘bercuti’ daripada persekolahan sepanjang tahun lalu disebabkan masalah kewangan

Dua beradik dari Teluk Renjuna Tenaik, Tumpat, Kelantan terpaksa ‘bercuti’ daripada persekolahan sepanjang tahun lalu disebabkan masalah kewangan.

Muhammad Danial Hakimi Abdul Razak, 11, dan adiknya, Nur Erisya Sofea, 10, berkata mereka ada menyatakan hasrat kepada nenek Mek Sah Jusoh, 60, untuk kembali bersekolah, tetapi sedar nenek yang hanya menjual kerepek secara kecil-kecilan berhadapan kekangan kewangan.

“Nenek sudah tentu tidak mampu untuk membeli keperluan sekolah kami. Syukur ada pihak yang membelikan baju serta keperluan sekolah pada hari kedua sesi persekolahan,” katanya.

Muhammad Danial dan adiknya sudah kembali ke sekolah apabila kelengkapan persekolahan mereka dibiayai seorang aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman yang tampil membantu selepas dimaklumkan mengenai keadaan mereka pada hari kedua sesi persekolahan.

Dua beradik berkenaan yang nyata gembira kerana sudah dapat kembali bersekolah tahun ini, bagaimanapun mengakui agak bimbang dengan perbelanjaan tambahan yang mungkin perlu ditanggung sepanjang sesi persekolahan tahun ini.

“Dari segi makan minum saya tidak bimbang kerana ditanggung pihak sekolah dan jika tidak membawa wang saku sekalipun, tidak menjadi masalah kerana kami mampu bertahan hingga waktu makan tengah hari di asrama nanti.

“Cuma risau juga jika ada sebarang pembayaran lain yang perlu dibuat kerana nenek hanya menjual kerepek sahaja dan kalau boleh kami tidak mahu terus membebankannya,” katanya.

Sementara itu, Faizah berkata, dia memperuntukkan RM450 hasil sumbangan orang ramai untuk kelengkapan awal persekolahan dua beradik itu baru-baru ini.

“Saya dihubungi neneknya ketika hari pertama persekolahan yang memohon bantuan untuk Hakimi dan adiknya bersekolah semula dan ia agak mengejutkan saya kerana tidak dimaklumkan sebelum ini.

“Selain membeli kelengkapan sekolah, sumbangan orang ramai ini juga saya gunakan untuk membayar yuran asrama berjumlah RM50 setiap seorang.

“Saya juga akan cuba mencari sumbangan lain untuk dijadikan wang saku bagi dua beradik ini dan saya mengalu-alukan bantuan orang ramai sama ada secara terus atau boleh menghubungi saya di talian 0179239831,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Sumber: Berita Harian

Be the first to comment on "Dua beradik terpaksa ‘bercuti’ daripada persekolahan sepanjang tahun lalu disebabkan masalah kewangan"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*